An Nashr (Pertolongan)

1. Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan,

Apakah erti pertolongan Allah dan kemenangan yang boleh kita rasai dalam diri kita? Oleh kerana kita dihidupkan untuk menjadi insan, bukannya haiwan ternakan, maka kita kena meletakkan diri kita sebagai insan. Untuk bertindak sebagai insan, bangunkanlah akal fikiran sehingga mampu menimbang dengan waras, bukan hidup ikut-ikutan dalam ketaksuban. Akibat beragama secara menurut, kita tidak tahu membezakan erti baik atau buruk. Hati jadi kuat rasa ragu-ragu. Akhirnya umat Islam menjadi lemah dalam segala segi sehingga tertinggal berbanding bangsa-bangsa lain, walaupun bangsa-bangsa itu bukan beragama Islam pun.

Adakah Allah tidak membantu kita umat Islam? Kenapa kita menjadi golongan yang dikalahkan? Sepatutnya jika benar kita ikut ajaran Islam, kita bukan menjadi bangsa yang lemah. Tetapi kenapa terjadi sebaliknya, walaupun berbuih-buih mulut membaca Quran dalam bahasa Arab dan berdoa dalam keadaan hati tidak memahami?

Tidaklah Allah menolong sesuatu kaum, jika kaum itu sendiri tidak mahu menolong diri sendiri. Untuk kita menolong diri kita sendiri, pertama-tama kali yang perlu kita lakukan adalah mengakui kelemahan dan kesalahan diri bahawa kelemahan umat Islam ini kerana kelemahan diri sendiri. Buangkanlah perangai suka menyalahkan orang lain terutama pemimpin sendiri. Mereka hendak sedar diri atau tidak, itu urusan mereka dengan Allah. Urusan kita adalah untuk memperindahkan akhlak sendiri.

Setelah terbitnya rasa keinsafan, mulakan perubahan diri dengan membangunkan akal fikiran. Fikiran hanya akan terbangun jika kita menggunakan logik dan kesimbangan akal. Hidup akan selamat jika dipandu oleh akal yang waras, bukannya menurut membuta-tuli. Sesatnya manusia terdahulu adalah kerana beragama secara taksub dan menurut, sehingga pembangunan akal tidak ditekankan kepada generasi baru. Bagi mereka cukuplah agama itu ada berjuta-juta hukum untuk mengawal hidup manusia, sehingga manusia rasa tertekan. Akhirnya, lahirlah generasi Islam yang jika nampak Islamik pun, tetapi hatinya keras suka mengutuk dan mencaci-maki. Yang tidak mahu Islam pula, memberontak untuk mencari sesuatu yang melalaikan.

2. dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun,

Setelah kita membangunkan akal, supaya kita menjadi manusia yang rajin berfikir dan mencari idea, sampai satu tahap Allah akan masukkan ilham-ilham kepada otak kita berduyun-duyun sehingga ada sahaja idea untuk kita menulis. Ayat Quran yang pendek-pendek mampu kita huraikan sepanjang yang mungkin, biarpun kita bukannya ustaz atau ulama. Bukankah itu menunjukkan bukti bahawa Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang? Asalkan niat di hati baik untuk memperbaiki diri sendiri, Allah akan memberikan petunjuk kepada kita.

Yakinlah pada diri sendiri untuk mengkaji dan menerokai Quran. Allah tidak melihat apa ijazah yang kita ada untuk memuji-muji KekuasaanNya. Allah hanya menilai keikhlasan diri kita. Jika kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas, pasti pertolongan Allah akan sampai biarpun sesukar mana jalan yang ditempuhi. Yang penting kita sentiasa meningkatkan keupayaan akal sehingga kita menjadi orang kuat kesabarannya.

Kajilah Quran dengan keseimbangan akal dan logik. Bila berfikir secara logik dan nyata, barulah akal ditinggikan. Akal yang tinggi memudahkan ilmu ditinggikan seperti gunung. Cuba kita fikir, jika Allah buat langit setinggi 50 meter dari bumi, mampukah wujud gunung setinggi gunung Everest? Jadi, hati kita akan berilmu tinggi jika akal dipertingkatkan, bukannya rendah seperti binatang ternak. Kita sudah berjanji dengan Allah untuk menjadi manusia yang ditugaskan sebagai khalifah, maka letakkanlah diri kita sebagai manusia yang memiliki keupayaan akal yang tinggi dan tidak diketahui di mana sempadannya.

Kita akan menzalimi diri sendiri jika kita letakkan diri kita seperti haiwan ternakan sehingga umat diperhambakan. Di atas muka bumi, atas rasa ego yang tanahair ini milik bangsa kita, kita jadi lalai dan leka untuk memajukan pemikiran. Akhirnya kita sendiri yang ketinggalan dengan bangsa-bangsa yang baru mendatangi negara kita.

Atas rasa ego yang kita ini Islam dan sudah layak masuk syurga, akhlak kita tidak diperindahkan dengan mengikut Quran. Adakah Islam itu sekadar cukup berjubah dan berserban, sedangkan dalam hati penuh hasad dan dengki? Bagaimana manusia lain hendak mengakui kebenaran Islam jika kita sendiri menunjukkan Islam itu agama yang sempit, jumud, taksub, lembab otak penganutnya lagi suka bertelagah sesama sendiri untuk mewujudkan puak-puak yang berbangga atas nama Islam?

3. maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Semakin banyak ilham-ilham yang Allah sampaikan, maka berbanyak-banyaklah bertasbih memuji Allah, kerana idea-idea bernas itu datangnya daripada Allah. Bukankah Allah Maha Bijaksana? Siapalah kita tanpa pertolonganNya. Dan pertolongan Allah itu amatlah dekat kepada orang-orang yang bersabar.

Mampukah kita menjadi golongan yang kuat kesabarannya jika akal kita rendah? Kenapa di Sepanyol, lembu dijadikan permainan? Lembu mempunyai sifat kuat marah, sehingga menyondol sahaja kerjanya. Lihat dalam diri kita, ada atau tidak sifat pemarah sehingga suka mengamuk? Jika ada, kenapa tidak kita perbaiki diri dengan bangunkan akal untuk berfikir dengan waras. Kewarasan membawa ketenangan hati. Ketaksuban membawa kepada amarah. Sebab itu ada manusia yang beragama secara taksub, biarpun cakap pasal Islam berapi-api, tetapi hati mereka sendiri yang terbakar dalam kemarahan bila diperingatkan dengan Quran. Itulah manusia yang bakal diazab di dalam neraka kelak.

Wujudnya manusia yang panas hati ini kerana rasa bangga diri. Perasaan bangga diri ini menyebabkan manusia sukar menerima perbezaan pendapat. Asal berbeza sahaja, biarpun pihak lagi satu itu membawa rasionalnya yang tersendiri, terus sahaja dilabelkan sesat dan bathil. Walhal dalam hati sendiri penuh dengan rasa dengki dan membenci. Ada pula yang sanggup mengadakan pertumpahan darah atas alasan Islam membenarkannya.

Sedangkan Rasulullah berdakwah dengan mengajak kepada kasih-sayang dan menunjukkan akhlak yang mulia. Setelah menunjukkan bukti akhlak mulia ajaran Islam, tetapi bila ada orang kafir yang sengaja memerangi Islam, barulah Islam membenarkan manusia sebegini diperangi. Tetapi kita sudah terbalik. Akhlak Quran tidak pun diletakkan pada diri dan Islam tidak pun diperindahkan, tetapi sibuk mencari musuh untuk diperangi. Bagaimanalah persepsi orang bukan Islam tidak salah, sebab kita sendiri menunjukkan perangai yang buruk sebagai penganut Islam?

Orang-orang yang beriman, semakin tinggi ilmunya, semakin rasa dirinya berdosa. Setiap hari bertaubat kepada Allah. Rasulullah biarpun telah dijamin syurga, tetapi tetap merasakan dirinya berdosa. Merasakan diri berdosa bukan bermaksud untuk kita menambahkan dosa lagi, tetapi untuk kita semakin kuat bertaubat. Sebab itu baginda boleh sampai tahap maksum.

Tetapi jika kita tinggi ilmu agama, kemudian hidup hanya nak menyalahkan orang lain atas rasa kita ini benar mengikut Quran, tidaklah perasaan sebegitu membawa kita hampir kepada Allah, sebaliknya jadilah manusia seperti itu semakin tersesat hidupnya. Mata hatinya ditutup sehingga tidak boleh berfikir secara rasional. Bila ada pendapat rasional yang berbeza, ditolak dengan rasa dengki dan panas hati. Takutilah suatu hari yang gunung-gunung akan terpecah seumpama bulu-bulu berterbangan. Janganlah kerana perasan ilmu agama tinggi, hati kita menjadi berkudis seperti mana gunung berapi menjadi kudis kepada bumi.

Marilah kita sama-sama memohon ampun atas kelalaian kita selama ini sehingga umat Islam menjadi lemah. Kelemahan umat adalah kelemahan kita. Hentikanlah perangai mencari kesalahan orang lain dan sikap suka menunding jari. Ingatlah satu jari kita menunding kepada orang lain, tiga jari lagi menunding kepada kita. Hidup kita ini adalah untuk mencari kesalahan diri sendiri, bukannya kesalahan orang lain. Cegahlah kemungkaran dengan memperbetulkan diri sendiri. Itulah sunnah dakwah para Rasul terdahulu.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

Leave a Reply