Ash Shaff (Barisan)
1. Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Apabila manusia itu bertasbih memuji Allah dengan sepenuh hati, jiwanya telah tunduk kepada Allah. Hatinya sentiasa berserah kepada ketentuan Allah. Seperti mana kita lihat bumi yang tetap tekun dalam peredarannya. Matahari tetap taat memancarkan sinarnya. Tunduk taat dengan ketetapan Allah. Bila segala makhluk-makhlukNya tunduk kepada ketetapan Allah, semuanya hidup dalam keadaan harmoni. Rosaknya muka bumi ini apabila adanya manusia yang engkar kepada ketetapan Allah. Allah bagi akal supaya berfikir dengan waras, ada manusia menolak akalnya sehingga segala ketetapan Allah telah diubahnya.
Bila akal ditolak, nafsu mula menguasai diri. Jadi bagaimana boleh ada manusia mengatakan Quran tidak boleh difahami kalau guna akal? Adakah mereka mengatakan mengikut nafsu agar mereka boleh memaksa manusia menurut membuta-tuli segala kata-katanya? Kewujudan kumpulan-kumpulan ajaran sesat di kalangan umat Islam kerana sikap manusia menurut membuta-tuli ini. Asal nampak sahaja seorang tok guru berjubah dan berserban, terus sahaja mereka turuti kata-katanya tanpa membuat penilaian yang waras.
Itulah sebabnya penting manusia itu membangunkan akal agar tidak mudah tertipu dengan kata-kata orang lain. Jangan menilai orang pada pandangan zahir, tetapi kaji cara berfikirnya. Jika cara berfikirnya lemah dan tidak membawa bukti-bukti yang nyata, itulah manusia yang tiada keyakinan diri akibat suka berdusta. Orang yang kuat berdusta, hatinya sentiasa berdebar-debar kerana perasaan bersalah pasti menyelubungi.
Bangkitlah kita untuk menjadikan umat Islam yang perkasa kerana hati tiada kegentaran dan umat yang bijaksana kerana ketinggian akal untuk berfikir secara logik dan mantik. Kajilah Quran dengan memahami ciri-ciri dan pengajaran di sebalik sesuatu ayat. Bila Quran sebut pasal gajah, apakah ciri-ciri gajah yang tidak sesuai kita ikuti. Begitu juga dengan perumpamaan burung yang bebas terbang, ciri-cirinya itu berguna untuk kita berfikir secara bebas dengan imbangan logik akal.
2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.
Cakap tidak serupa bikin adalah antara sifat yang menyebabkan kita umat Islam sekarang jadi lemah. Akibat suka mencari keburukan orang lain, kita suka menegur orang lain, tetapi tidak pada diri sendiri. Kita leka dengan tugas yang kononnya amal maaruf nahi mungkar, tetapi kita lupa mengenali diri apakah kemungkaran-kemungkaran yang kita telah lakukan sehingga umat Islam jadi lemah. Sebagai sebahagian daripada entiti Islam, kelemahan umat itu adalah kelemahan diri sendiri. Oleh adalah sepatutnya kita lebih sibuk memperbaiki diri sendiri daripada membetulkan orang lain.
Tugas kita orang beriman sebenarnya adalah mengajak seberapa ramai umat untuk memperbaiki diri masing-masing. Ajak manusia berfikir, bukannya menghukum orang lain itu tak betul dan ini tidak betul. Sikap suka menghukum orang lain inilah menyebabkan wujudnya puak-puak yang perasan diri betul dan orang lain semuanya tidak betul. Kemudian mereka membuat perkumpulan-perkumpulan yang konon itulah Islam yang sebenar. Tetapi bila kita lihat daripada cara berfikir mereka yang taksub dan menurut membuta-tuli itu, jelas sekali tidak sama dengan ajaran Quran yang menekankan penggantungan kepada Allah semata-mata dengan yakin pada keupayaan sendiri. Bila kita yakin pada diri sendiri, kita tidak jadi seorang yang berharap-harap subsidi daripada orang lain semata-mata. Guna otak yang Allah ciptakan sebaik-baik kejadian untuk berfikir secara waras. Barulah hidup jadi selamat. Apakah sama orang yang tidak waras dengan orang yang waras?
4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.
Oleh kerana musuh utama kita adalah syaitan, maka kita kena bersatu fikiran untuk memerangi syaitan-syaitan yang tersembunyi dalam diri sendiri. Sampaikan kepada manusia yang ada akal untuk menilai agar bersama-sama menyertai barisan anti-syaitan. Barisan ini perlu dimulakan dari diri sendiri. Kemudian keluarga dan sahabat-sahabat terdekat yang kita kenal hati budinya. Kejayaan kita tunjukkan contoh kepada orang lain, akan menarik perhatian mereka untuk menyertai perjuangan agama Allah ini. Kerana manusia perlukan bukti-bukti yang nyata dan logik untuk mempercayai sesuatu perkara.
Di sini pentingnya kita melogikkan segala keindahan ajaran Quran, bukan setakat suruh orang lain ikut Quran. Mulakan ajaran Quran daripada yang asas iaitu belajar melawan keraguan kepada keupayaan diri sendiri. Selagi kita tidak yakin kepada diri sendiri sampai hendak kaji Quran terpaksa mencari tok guru-tok guru, selagi itulah kita jadi umat Islam yang lemah. Sebab itu kita lihat kenapa surah-surah yang ajar tentang perkara asas untuk membentuk keyakinan pada diri sendiri ini pendek-pendek sahaja supaya mudah difahami dan dihayati?
Silapnya kita kerana melihat Quran itu sebagai kitab yang telah sempurna diturunkan. Memanglah Quran telah sempurna diturunkan kepada Nabi Muhammad, tetapi belum tentu sempurna meresap ke dalam jiwa kita. Hendak sempurnakan pengajaran Quran, kajilah ia dari surah-surah yang mudah-mudah kerana Islam itu mudah. Setelah kita amalkan dan yakin pada diri sendiri, kemudian kajilah surah-surah yang panjang-panjang pula. Ketika itu asas kita sudah kukuh untuk memahami matlamat pengajaran Quran. Mudah sahaja untuk menerokai Quran sebenarnya. Asalkan kita ada minat dan keyakinan pada diri sendiri. Tidaklah kita tercari-cari riwayat hadith untuk mengkaji Quran supaya pergantungan kita bukan pada riwayat hadith atau kata-kata atas nama imam-imam terdahulu, tetapi pergantungan pada tali Allah yang menyampaikan ilham melalui akal setelah kita waras berfikir.
5. Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahwa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
Sudah selalu terjadi sejak zaman dahulu, apabila datang utusan Allah untuk mengajak kaumnya mentauhidkan Allah iaitu dengan bergantung harap hanya kepada Allah bukan selainNya, pasti ada manusia yang menolak dan menyakitinya. Mereka telah dipalingkan daripada berfikir secara waras apa yang sampaikan oleh pemberi peringatan itu. Maka Allah telah menutup hati mereka menilai beza di antara baik dan buruk. Hati menjadi tertutup bila tahap akal direndahkan sehingga sampai setaraf binatang ternak atau lebih hina lagi. Oleh kerana akal manusia tersebut sudah tidak tahu menimbang dengan waras, mereka akan menurut membuta-tuli apa yang didengar dan dilihat secara zahir. Maka berlakulah bermacam-macam fitnah dan cerita keburukan orang lain. Tergolonglah mereka dalam kaum yang berbuat dosa biar pun ada di antara mereka berapi-api berkata memperjuangkan Quran dan Sunnah.
6. Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, yaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad).” Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata.”
Setiap utusan Allah membenarkan kitab-kitab sebelumnya yang pernah disampaikan oleh rasul-rasul terdahulu. Supaya umat yang mengikuti kitab-kitab terdahulu itu merasa gembira dengan kedatangan seorang utusan sesudahnya. Setiap rasul memiliki jiwa yang terpuji sebagai contoh tauladan kepada orang-orang yang mempunyai akal. Namun bagi manusia yang menolak akalnya sendiri, kedatangan rasul itu disambut dengan celaan dan ejekan. Ini kerana mereka telah mendewa-dewakan rasul-rasul terdahulu dengan menganggap jawatan pemberi peringatan itu suatu jawapan yang hanya layak kepada manusia bersifat malaikat. Tetapi bila mereka lihat yang menjadi rasul itu adalah manusia biasa yang makan dan berjalan-jalan di pasar-pasar seperti mereka, mereka menjadi pelik lalu menentangnya.
Apatah lagi apa yang disampaikan oleh rasul itu suatu yang menyakitkan syaitan yang telah lama menternak di dalam hati mereka. Mereka merasa panas hati dengan kebenaran yang disampaikan itu walhal kepanasan itu akibat syaitan yang tersembunyi dalam hati itu telah terbakar. Jika mereka bersabar dengan kepanasan itu dengan berfikir secara waras, pasti hati mereka menjadi tenang semula. Tetapi akibat menolak apa yang disampaikan oleh rasul itu, mereka akhirnya lebih rela hidup dalam kesombongan terhadap Kekuasaan Allah.
7. Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.
8. Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya.”
Apabila datang utusanNya menjelaskan tentang ketauhidan kepada Allah serta diajaknya manusia itu menyertai perjuangan menegakkan Islam, apakah ajakan itu suatu yang patut ditolak dengan alasan-alasan dusta? Bukankah itu suatu kezaliman kepada diri sendiri setelah Allah menunjukkan kebenaran yang boleh dinilai oleh akal mereka sendiri? Jadi bagaimanakah petunjuk Allah akan sampai jika mereka sendiri berlaku zalim dengan menolak petunjuk Allah itu? Tidakkah manusia itu mahu memikirkan?
Adakah mereka ingin menjadi seperti golongan penentang terdahulu yang berusaha memadamkan cahaya Allah? Bukankah Allah telah menyempurnakan cahaya-Nya walau berjuta seteru pun membenci orang yang diberikan amanah untuk menyampaikan kebenaran agamaNya. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji, sebaliknya manusia sahaja yang suka memungkiri janji. Kita selalu lalai dengan amanah yang Allah berikan untuk menegakkan agamaNya yang menyeru kedamaian sesama manusia. Tetapi ramai manusia tidak mahu memahaminya. Disangkakan utusanNya itu adalah musuh, sedang dia hanya ingin mengajak dan menawar manusia ke jalan selamat. Sebenarnya bukanlah dia mengajak mereka beriman kerana menurut nafsunya, tetapi setelah Allah memberikan petunjuk yang sejak kepada utusan itu. Dengan kata lain, apa yang dikatakan itu adalah tawaran daripada Allah sendiri kepada manusia yang belum pernah lagi mendengar tawaran seperti itu dari bapak-bapak dan nenek-moyang mereka.
9. Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.
Urusan mengutuskan seorang manusia sebagai pemberi peringatan adalah urusan Allah. Dia akan memberi petunjuk kepada mana-mana hamba-hambaNya yang mahu memperbaiki diri supaya mereka berusaha menunjukkan kebenaran agama berdasarkan akhlak-akhlak yang mulia. Islam adalah agama yang membawa kepada kesejahteraan manusia. Manusia akan hidup dalam kesejahteraan bila penganutnya bijak dan matang berfikir. Untuk menjadikan manusia itu seorang yang matang berfikir, dia kena berfikir secara logik berdasarkan bukti-bukti yang nyata yang mudah diterima akal.
Seperti juga logiknya Tuhan itu adalah Esa. Jika kita berfikir secara waras dengan melihat keteraturan alam ini dipelihara, semua manusia akan mempercayai hanya ada satu Kekuasaan yang mengawal alam semesta ini. Yang bersifat Maha Berkuasa inilah dikenali sebagai Tuhan atau Allah. Allah adalah daripada perkataan Arab iaitu Al-Ilah atau dalam bahasa Inggeris dipanggil The God. Al-Illah dipermudahkan sebutan jadilah Allah. Allah juga mempunyai 99 nama lain yang menunjukkan KeagunganNya supaya mudah akal manusia menerimaNya sebagai Tuhan semesta alam ini. Secara tidak langsung menunjukkan Kekuatan Allah itu bukan pada namanya tetapi sifat-sifat KeagunganNya. Oleh itu, untuk kita merasai getaran KeagunganNya, bukan sekadar mulut manis menyebut Allah, tetapi sejauh mana hati kita merasai KekuasaanNya di segenap penjuru hidup kita.
Bila kita merasai Kekuasaan Allah, apabila Allah menguji kita dengan tekanan ekonomi seperti kenaikan minyak, tidaklah kita menjadi manusia yang hanya tahu melepaskan kemarahan kepada pemerintah, tetapi kita akan menjadi golongan yang lebih kuat kesabarannya. Kesabaran menyebabkan jiwa jadi tenang. Ketenangan jiwa memudahkan minda berfikir secara waras. Kewarasan memudahkan kita memudahkan kita membezakan di antara kebaikan atau kefasikan seterusnya menjauhkan diri daripada kefasikan. Semakin kita bijak mengawal hidup kita jauh daripada kefasikan, kita semakin menghampiri kepada kemenangan.
Oleh itu kita kena menyampaikan kebenaran iaitu sesuatu yang masuk akal berdasarkan bukti-bukti yang nyata dan menyampai kesabaran agar umat Islam menjauhi kefasikan. Itulah akhlak yang Rasulullah capai. Semakin ramai orang Islam berakhlak seperti Rasulullah, insyaAllah kita mampu menggemilangkan Islam kembali. Allah-lah yang memenangkan Islam atas semua agama.
Tetapi orang-orang yang bergantung selain kepada Allah, walaupun zahirnya mengaku Islam, mereka akan membenci seruan-seruan kepada kebenaran dan kesabaran ini. Syaitan yang tersembunyi di dalam hati telah menipu manusia itu kerana selama ini mereka beragama secara taksub dan menurut membuta-tuli tanpa memahami kelogikan di sebalik ajaran Islam. Bila ditanya kenapa Islam suruh buat itu dan buat ini, mereka sekadar menggunakan nama-nama imam terdahulu untuk menunjukkan mereka berkata benar. Sedangkan kita masuk kubur nanti sendiri-sendiri, bukannya menumpang kubur imam-imam terdahulu. Nampak atau tidak perangai mendewa-dewakan orang-orang terdahulu sudah wujud dalam masyarakat Islam? Samalah seperti Isa ibn Mariam didewa-dewakan oleh orang Nasrani sehingga dianggap sebagai anak Tuhan. Kerana itu kita menjadi umat yang lemah seperti umat Eropah ketika di zaman gelap mereka dahulu.
10. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
11. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
Hidup di atas dunia ini umpama kita berniaga. Allah bagi kita masa yang sama rata dalam sehari sebagai modal perniagaan. Terpulanglah kepada kita hendak guna modal ini secara boros, sia-sia dan tidak terkawal atau menggunakan masa kita dengan bijak.
Bagaimana hendak gunakan masa secara bijak? Oleh kerana kita adalah hamba Allah, wujudnya kita di atas bumi ini hanyalah untuk tunduk dan taat kepada suruhanNya sehingga Keagungan Allah dapat diperlihatkan di serata alam. Jika kita sekadar mengaku dengan mulut bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, tetapi kita menunjukkan contoh manusia yang lemah dan lembab akalnya, apakah nilai akuan Islam kita selama ini? Jesteru itu, sudah tiba masanya kita memperbaiki diri kita dengan memperkasakan diri melalui nilai akhlak yang mulia dan membijakkan akal kita berfikir. Barulah terpesona bangsa lain melihat keindahan Islam melalui akhlak penganutnya. Sekadar mengutuk dan mencaci-maki orang lain tidak Islamik dan sebagainya, secara tidak langsung telah menunjukkan diri kita sendiri yang jauh daripada tuntutan Al-Quran yang sebenarnya.
Bukti kita beriman kepada Allah dengan kita mengikut jejak para Rasul terdahulu membentuk akhlak yang mulia dalam diri. Cuba kita kaji hikmah disebalik sunnah rasul Muhammad mengasingkan diri setelah melihat masyarakat Arab ketika itu jauh tersasar dari pada agama Allah ketika pada permulaan baginda mendapat hidayah. Bila kita mengasingkan diri dari masyarakat buat sementara, kita akan lebih mengenali diri kita sendiri. Kita lebih bergantung kepada keupayaan akal kita sendiri untuk bereksperimen terhadap diri sendiri. Kita tidak terikut-ikut dengan cara orang lain. Secara tidak langsung kita boleh menjauhi budaya taksub dalam beragama. Dalam tempoh pengasingan diri itu, kita akan nampak potensi diri dalam bidang atau minat yang kita ada. Bila kita yakin pada diri, semua boleh jadi. Semangat makin membara untuk menyerlahkan keindahan akhlak mulia beserta minda yang bebas dari belenggu pemikiran yang jumud, sempit dan tertutup.
Berjihadlah di jalan Allah dengan melawan syaitan-syaitan yang tersembunyi dalam hati kita sendiri. Jika kita berperang dengan syaitan dalam diri menggunakan mata hati yang terbuka (akal yang tinggi), mata zahir kita bukan lagi ingin mencari permusuhan sesama manusia, tetapi kita akan berkasih-sayang dengan manusia kerana kita semua dari keturunan Adam. Sepatutnya kita melawan iblis dan syaitan, bukannya melawan manusia. Melainkan manusia itu sengaja memilih syaitan dalam diri mereka sebagai penolong, setelah diperingatkan dengan nasihat seperti ini, tunggulah kedatangan azab Allah kepada manusia yang sengaja memilih syaitan daripada Allah. Dan Allah amat cepat menurunkan azabNya jika kita mahu memahami.
12. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.
Kejayaan kita melawan bisikan-bisikan ke arah kejahatan dan permusuhan sesama manusia, Allah akan masukkan rasa tenang dan damai dalam hati kita. Tiada lagi dendam kesumat dalam hati sehingga kita hanya mahu bertelagah. Tiada lagi rasa panas hati yang meresahkan hati. Tiada lagi tekanan perasaan akibat tidak memahami takdir Allah melaksanakan perancanganNya. Kita akan diperkuatkan dengan kesabaran biar pelbagai dugaan melanda.
Bagai hati kita di bawahnya ada sungai-sungai. Bila terbit rasa panas hati atau gelisah sahaja, cepat-cepat kita terjun ke dalam sungai itu untuk menyegarkan diri. Maknanya sejak kita hidup di dunia lagi Allah sudah wujudkan syurga ‘Adn dalam diri kita. Kita merasa bahagia dan damai dengan apa yang Allah tentukan untuk diri kita. Tiada lagi keluhan seolah-olah tidak menerima kehendak Allah. Adakah hidup dengan penuh ketenangan dan kedamaian biarpun kita tidak sekaya mana pun itu lebih baik daripada hidup kaya-raya tetapi penuh kegelisahan? Adakah hidup penuh kesabaran dan tunduk kepadaNya itu lebih beruntung dari yang hidup penuh rasa panas hati lagi kuat kedengkiannya?
13. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Setelah kita berjaya memerangi syaitan-syaitan yang tersembunyi dalam diri, Allah akan berikan kurnia lain yang kita ingini melalui pertolongan dari Allah. Yang menyebabkan kita rasa Allah tidak tolong apa yang kita cita-citakan kerana masih banyak syaitan yang belum kita kalahkkan. Semakin kita kuatkan azam dan semangat untuk mengalahkan syaitan-syaitan ini, semakin kita merasai perubahan diri. Kita semakin menunduk diri kepada Allah. Kita makin bersabar dengan takdirnya. Kita tidak cepat mengalah dan mengeluh. Rasa kasih kepada Allah semakin tegur. Rasa sayang pada perjuangan semakin utuh. Kita tidak melarikan diri daripada perjuangan mengalahkan syaitan ini, sebaliknya kita meneguhkan pendirian berdasarkan logik-logik yang Allah perlihatkan kita untuk membuktikan kebenaran agamaNya. Dan kemenangan itu adalah dekat kepada orang-orang yang kuat kesabarannya.
Oleh itu, jika kita benar-benar beriman dan termasuk dalam golongan yang memperjuangkan Islam, kuatkan kesabaran kita dengan membangunkan fikiran kita agar ilham-ilham yang logik mencurah-curah. Ilham yang logik akan meyakinkan hati. Tetapi jika kita bergantung pada bayang-bayang kosong, hati kita jadi ragu-ragu. Keraguan adalah bisikan syaitan. Sesungguh berita ini sudah tentunya akan memberikan kegembiraan kepada orang-orang yang percaya adanya hari akhirat dan berusaha membuat bekalan untuk hari itu.
14. Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.
Marilah kita kobarkan semangat untuk menolongan agama Allah seperti rasul-rasul terdahulu. Muhammad bin Abdullah juga pernah menyeru pengikut-pengikutnya agar setia membantu perjuangan agamaNya. Para sahabat baginda dan orang-orang beriman setia di belakang baginda. Namun segolongan dari orang munafik membuat alasan untuk lari daripada perjuangan ini. Adakah kita mahu meniru perangai orang munafik itu? Sesungguhnya kemenangan itu kepada orang-orang yang menolong agama Allah kerana Dia memperkuatkan mereka daripada musuh-musuh yang tertipu dengan bisikan. Dan tipu daya syaitan itu adalah lemah sahaja. Kalau kita kuatkan semangat dan kekuatan agar, mudah kita mengalahkan syaitan ini.


























