At Taghaabun (Hari ditampakkan kesalahan-kesalahan)
1. Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Kita hanyalah makhluk Allah yang dicipta sebahagian dari cipta-ciptaNya yang wujud di antara langit dan bumi. Kesedaran bahawa kita hidup mengikut KekuasaanNya akan menjadikan kita jiwa yang berserah diri dan tunduk kepada Yang Maha Kuasa. Jika hati kita engkar untuk mengikut kehendakNya, kita tetap masih dalam KekuasaanNya. Cuma bagi manusia yang engkar kepada Allah, hatinya akan hilang ketenteraman. Perasaan resah dan bersalah akan menyelubungi kerana Allah sediakan dua pilihan sahaja untuk kita. Jalan orang-orang yang diberikan nikmat atau jalan orang-orang yang sengsara. Hidup ini terasa nikmatnya jika hati kita tenang dan bahagia. Itulah erti kenikmatan hidup yang sebenar.
Semakin kita menghampiriNya sehingga setiap saat kita merasai keAgungan kerajaanNya, semakin kita merendah diri. Kita tidak berbangga diri di atas segala kenikmatan dan tidak terasa dihina jika diuji dengan kesusahan. Itulah jiwa orang yang beriman dan tebal dengan kesabaran. Gelora hati diubati dengan sentiasa berfikir untuk memuji-mujiNya. Hati jadi damai bila manusia sentiasa meletakkan nama-namaNya yang Agung itu di dalam hati. Bukan setakat mengetahui Allah ada 99 nama, tetapi sejauh mana kita menghayati dan merasai aura dan semangat berdasarkan nama-namaNya itu. Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.
2. Dia-lah yang menciptakan kamu maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang mukmin. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
3. Dia menciptakan langit dan bumi dengan haq. Dia membentuk rupamu dan dibaguskanNya rupamu itu dan hanya kepada Allah-lah kembali(mu).
4. Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati.
Bagaimana boleh ada manusia yang sengaja memilih kekafiran sedangkan kita semuanya sama? Yang membezakan di antara manusia itu sejauh mana keupayaan akalnya menilai baik atau buruk. Orang yang seimbang akalnya untuk membezakan di antara haq (sesuatu yang ada bukti-bukti yang nyata) dan yang bathil (sesuatu yang tiada bukti kukuh untuk disandari), dan dia tetap teguh pada yang haq, itulah orang-orang yang beriman. Tetapi orang yang sengaja memilih kebathilan dengan menolak rasional akalnya sendiri, termasukkan mereka dalam golongan yang kafir.
Allah menciptakan langit dan bumi dengan haq iaitu disertai bukti-bukti yang logik yang mudah diterima akal. Allah tidak ciptakan semua ini dengan bayangan-bayangan kosong. Hanya syaitan sahaja suka membisikkan bayangan-bayangan kosong agar manusia itu mudah ditipu-daya. Jesteru itu adalah sepatutnya kita mengkaji Quran dengan berfikir melihat bukti-bukti yang kukuh dan nyata, supaya kebenaran agama Allah ini boleh serlahkan. Sikap menurut pendapat orang lain membuta-tuli dalam memahami Quran menyebabkan manusia itu hilang keyakinan pada akalnya sendiri. Bila beragama secara malas membangunkan akal untuk mengkaji dan menerokai ilmuNya yang luas, umat jadi lemah kerana tidak tahu menilai beza buruk atau baik.
Bila akal lemah, mata hati jadi tertutup. Jadilah mereka manusia yang menggunakan mata zahir sahaja. Apa yang dilihat buruk, teruslah ia anggap buruk, sedangkan mereka belum berfikir panjang dan waras untuk memahami hikmah sesuatu perkara yang Allah takdirkan.
Bukankah Allah yang membentuk dan membaguskan rupa kita? Begitulah Dia membentuk dan membaguskan akhlak kita apabila kita berserah diri kepadaNya. Allah juga yang membentuk dan membaguskan hati kita untuk memahami hikmah sesuatu ayat Quran. Asalkan kita ada kemahuan untuk bergantung kepada taliNya iaitu dengan berfikir secara logik mengikut pertimbangan akal yang waras.
Segala urusan hidup kita ini, kembalikanlah kepada Allah untuk menentukan yang terbaik dalam hidup kita. Dia Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati kita. Jika kita ada rasa marah atau berdendam sesama manusia, Dia Maha Melihatnya. Jika kita ada rasa kasih atau cinta pada seseorang, Dia juga Maha Memahaminya. Jadi berserah dirilah kepadaNya selalu. Maksud berserah diri ini bukan kita hanya duduk diam menadah tangan mengharapkan pertolongan Allah, tetapi kita berfikir dengan waras agar ilham-ilham daripada Allah diterima untuk kita tahu apa yang harus kita lakukan. Dia akan menunjukkan jalan terbaik untuk kita menghadapi segala kesukaran dalam hidup agar kita dipermudahkan. Bukankah segala isi alam ini berada dalam KekuasaanNya?
5. Apakah belum datang kepadamu (hai orang-orang kafir) berita orang-orang kafir terdahulu. Maka mereka telah merasakan akibat yang buruk dari perbuatan mereka dan mereka memperoleh azab yang pedih.
6. Yang demikian itu adalah karena sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul mereka membawa keterangan-keterangan lalu mereka berkata: “Apakah manusia yang akan memberi petunjuk kepada kami?” lalu mereka ingkar dan berpaling; dan Allah tidak memerlukan (mereka). Dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
Kisah orang-orang terdahulu yang kafir dengan negeri akhirat amatlah perlu kita jadikan pengajaran. Adakah disebabkan kekafiran mereka itu, hidup mereka semakin aman sentosa atau semakin sengsara? Adakah umat Islam sekarang hidup semakin lemah dan tersepit akibat kekafiran yang tidak kita sedari? Mungkin mulut sahaja kita mengakui Islam, tetapi adakah di dalam hati kita betul-betul beriman kepada Allah? Sudahkah kita diuji sehingga kita tetap berpegang teguh kepada agamaNya, atau kita menjadi orang yang lari daripada perjuanganNya?
Seperti yang terjadi pada umat-umat terdahulu, apabila Allah bangkitkan utusanNya untuk menyampaikan nasihat agar manusia yang ada akal berfikir dengan waras untuk melihat tanda-tanda KekuasaanNya supaya terasa KebesaranNya, pasti akan ada manusia yang menolak nasihat ini. Mereka merasa pelik orang yang memberikan nasihat itu hanya manusia biasa seperti mereka juga.
Keadaan ini berlaku kerana selama ini mereka telah mendewa-dewakan para rasul dengan pelbagai kepercayaan agar martabat para rasul dimuliakan secara melampau. Kononnya dengan memuja-muja para Rasul terdahulu itu, mereka boleh masuk syurga dengan mudah. Sedangkan mereka belum lagi menyelidiki syaitan-syaitan yang tersembunyi dalam diri sehingga mereka sanggup menggunakan nama agama Islam untuk mengajak manusia berpecah-belah dan bermusuh-musuhan. Mereka lalai membangunkan akal dan memuliakan akhlak agar sama seperti akhlak RasulNya. Bagi mereka cukuplah melaung-laungkan mereka memperjuangkan Quran dan Sunnah, tetapi dalam hati mereka ada penyakit iaitu perasaan berbangga diri bahawa puak mereka sahajalah menurut cara Islam. Akibatnya agama dijadikan alat mewujudkan puak-puak. Tiada keterbukaan dalam menerima perbezaan pendapat.
Bila dinasihati supaya jangan berpecah-belah, mereka berpaling dan memadam cahaya Allah itu. Apakah mereka mampu menutup sesuatu yang haq dengan cara yang bathil? Mereka tidak mampu memberikan hujah untuk membukti apa yang mereka lakukan (mewujudkan perpecahan masyarakat) itu suatu yang diajar dari Quran. Dan Allah tidak memerlukan manusia yang tidak ikhlas berjuang dalam agamaNya, kerana kitalah memerlukan Allah untuk hidup dengan sejahtera.
7. Orang-orang yang kafir mengatakan bahwa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Katakanlah: “Memang, demi Tuhanku, benar-benar kamu akan dibangkitkan, kemudian akan diberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Mungkin kita tahu wujudnya negeri akhirat, tetapi keyakinan dalam jiwa tidak meresap. Maka kita mengambil sikap sambil lewa bila diperingatkan dengan Quran. Kita tahu dosa mengutuk dan memfitnah orang lain. Tetapi atas rasa diri kita mulia untuk menegakkan Quran dan Sunnah, dosa-dosa tu kita buat juga seolah-olah kita tidak akan dibangkitkan dari mati nanti.
Logik kebangkitan manusia selepas mati adalah seperti bumi yang penuh pokok-pokok dan kemudiannya Allah matikan pokok-pokok itu dengan musim kemarau yang berpanjangan. Setelah beberapa ketika bumi itu gersang, Allah turunkan hujan yang lebat sehingga tumbuhlah kembali pokok-pokok tersebut. Mudahnya Allah menghidupkan pokok-pokok itu, seperti itulah mudahnya Allah menghidupkan diri kita nanti. Apakah kita tidak mahu memikirkan?
Sekarang ini umat Islam umpama manusia yang telah mati. Kita lemah dan tidak berdaya sehingga ada negara-negara umat Islam dikuasai bangsa asing. Namun tidak mustahil kita berjaya membangkitkan umat Islam jika kita menjadi manusia yang tunduk merendah diri kepada Allah. Perasaan rendah diri telah hilang di jiwa kita kerana berbangga diri atas nama Islam yang kita pegang, kita adalah umat yang terpilih. Bukankah perasaan berbangga diri seperti itu juga pernah dimiliki oleh bangsa Yahudi terdahulu sehingga mereka telah diazab oleh Allah?
8. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Untuk membuktikan kita betul-betul beriman kepada Allah, yakinlah pada keupayaan diri sendiri untuk kaji Quran. Jika kita bergantung kepada manusia kononnya manusia itulah yang boleh menyebabkan kita fahami Quran, secara tidak langsung kita sudah mengadakan sekutu bagi Allah. Bila kita yakin pada diri sendiri, fikiran kita akan fokus untuk ingat kepada Allah dalam setiap gerak-geri kita. Setiap logik yang Allah ilhamkan untuk kita akan memberikan ketenteraman dalam hidup bila kita turuti. Tetapi sekadar menggunakan nama imam-imam terdahulu walhal tidak fahami pun apakah hikmah dan logik di sebalik sesuatu kata-kata imam itu, jadilah manusia yang menuruti itu seperti binatang ternak yang tidak boleh berfikir.
Sesuatu yang diperlihatkan kelogikan itu menunjukkan hati manusia tersebut telah mendapat sinar hidayah. Jika sebelum ini dia tidak nampak logik sesuatu perkara itu, namun setelah berfikir secara waras dan mudah diterima akal, manusia itu memahami apa hikmah terhadap apa yang dia diperlihatkan.
9. (Ingatlah) hari (dimana) Allah mengumpulkan kamu pada hari pengumpulan, itulah hari dinampakkan kesalahan-kesalahan. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan beramal saleh, niscaya Allah akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar.
10. Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Seperti di akhirat nanti, di atas dunia juga ada hari pengumpulan. Pada hari pengumpulan ini, Allah akan pisahkan manusia yang melakukan kesalahan daripada orang-orang beriman. Ketika itu segala yang tersembunyi dalam hati akan diperlihatkan. Kedatangan hari pengumpulan ini berlaku apabila Allah bangkitkan utusanNya untuk menyatakan kebenaran agamaNya. Kerana pada akhir zaman, agama telah dijadikan alat pemecah-belah masyarakat, sehingga umat menjadi lemah. Utusan Allah ini bertanggungjawab menyeru kepada manusia untuk kembali mentauhidkan Allah, bukannya bergantung harap pada mana-mana manusia atau makhluk selain Allah. Tok guru tidak mampu memberi syafaat kepada anak muridnya. Allah sahaja boleh membantu manusia.
Ketika hari pengumpulan ini, orang yang dalam hatinya ada kekafiran, akan memilih kelompok yang kafir juga kerana selama ini mereka beragama secara taksub membuta-tuli. Mereka melihat Islam hanya pada pandangan zahir, bukannya pada akhlak. Sekadar berjubah dan berserban belum tentu seorang itu Islam jika hatinya berpenyakit malah menolak keseimbangan akal(rasional)nya sendiri. Masuklah mereka ke dalam penghuni neraka kerana hati mereka sentiasa panas lagi berhasad dengki. Atas rasa mereka sahaja golongan memperjuangkan Quran, mereka melontarkan kutukan dan caci-maki seterusnya menyebarkan fitnah memburuk-burukkan peribadi orang lain. Itulah seburuk-buruk manusia. Mata hati mereka tertutup untuk berfikir secara logik, tetapi hanya mengikut persangkaan-persangkaan semata-mata.
Namun, kepada manusia yang menjaga kesucian hatinya, mereka itulah golongan yang beriman. Mereka tunduk berserah diri kepada Allah dengan redha di atas segala takdir yang Allah tentukan. Mereka bersabar dengan mengukir senyuman agar segala tekanan hidup boleh diredakan. Hendak redakan tekanan, mereka akan pertingkatkan akal supaya mendapat ilham-ilham yang logik. Ilham-ilham ini mengandungi petunjuk Allah untuk mereka harungi dugaan hidup dengan rasa sejahtera. Bila mereka rasa tidak tenteram, mereka akan lebih mensucikan hati dengan mengkaji diri dan dekat kepada Allah, bagaikan mengalirnya sungai di hadapan rumah untuk kita membersihkan diri.
Hidupnya bukan lagi untuk bermusuh-musuhan sesama manusia, kerana mereka membawa mesej kedamaian. Juga bukannya hidup hendak menghukum orang lain tidak betul, sebaliknya untuk memperbetulkan diri sendiri dan mengajak orang lain sama-sama muhasabah diri, kerana kita masing-masing ada otak untuk berfikir dan menilai yang mana betul dan yang mana salah. Biarpun mereka dimusuhi dan dibenci oleh orang kafir, mereka tidak membenci manusia lain. Musuh orang-orang beriman hanyalah syaitan. Sebab itu syaitan suka menipu manusia supaya kita jangan mendekati golongan beriman, agar mudah kita disesatkan.
11. Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Untuk menjadi golongan yang beriman, kita kena kuat bersabar. Apa yang berlaku terhadap kita baik yang kita suka mahupun tidak, ia hanya terjadi di atas keizinan Allah. Biarpun yang berlaku itu datangnya daripada orang lain, sebagai orang yang beriman, kita anggap ia adalah ujian yang didatangkan oleh Allah. Dan itulah hakikat yang sebenarnya pun jika kita termasuk dalam golongan yang berakal.
Contohnya, bila pemerintah naikkan harga minyak petrol, sebagai orang yang beriman, adalah tidak patut kita menghentam kerajaan kerena merasa marah. Bukankah marah itu hasutan syaitan? Bersabarlah terhadap kekerasan dan kepedihan yang kita terima. Semua itu ada hikmahnya bila kita berfikir dengan tenang dan waras. Jika kita bersabar dengan kenaikan harga barangan itu, Allah akan bantu kita dengan memberikan jalan keluar untuk menghadapi masalah hidup. Pokoknya, kita kena cari Allah dahulu, barulah Dia membantu kita. Selagi kita ego dan sombong dengan Allah, selagi itu kita tidak mampu keluar dari masalah hidup.
Jika kita berfikir dengan tenang setelah kita bersabar itu, rupa-rupanya Allah memberikan ganjaran lebih banyak daripada kerugian yang kita tanggung. Umpamanya kenaikan harga petrol dan harga barangan menyebabkan kerugian bulanan kita dalam RM50 berbanding sebelum kenaikan harga itu. Tetapi setelah kita bersabar, Allah naikkan gaji kita lebih RM500 daripada gaji sebelumnya. Bukankah itu tanda-tanda Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar?
Tetapi jika asyik marah-marah dengan pemerintah, kenaikan gaji itu tidak dirasai sebagai rahmat Allah, tetapi menyebabkan kita menjadi orang yang berbangga diri untuk bermegah-megahan dengan rezeki yang diberi. Akibatnya, setiap kali kenaikan harga barangan, kitalah yang menjadi tertekan dan marah. Hilang keindahan dalam hidup. Hanya tahu bermusuh-musuhan sahaja. Jika di atas dunia pun sudah gagal mengawal api kemarahan, bagaimana hendak masuk syurga yang penuh ketenangan?
12. Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, jika kamu berpaling sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.
Kewajiban seseorang Rasul hanya menyampaikan apa Allah ilhamkan kepadanya dengan jelas dan terang. Maksud terang ini adalah, ia mudah diterima akal bagi semua manusia yang mahu berfikir secara waras. Jika dia kata 1+1=2, dia perlu buktikan dengan jelas dan terang, 1+1 mesti menghasilkan jawapan 2. Bukannya jawapan yang penuh keraguan dan menduga-duga yang dia sendiri tidak yakin apa maksud sebenarnya. Jadi jika ada seseorang yang membawa bukti dan keterangan yang nyata yang akal kita mengakui kebenarannya, adakah patut kita berpaling? Bukankah orang yang berpaling itu adalah orang yang engkar dengan amanah Allah?
Dan orang yang menyampaikan itu tidak meminta apa-apa upah pun di atas apa yang disampaikan itu kerana dia ikhlas menyatakan kebenaran yang Allah perlihatkan kepadanya. Dan urusan memberi hidayah itu adalah urusan Allah. Bagi yang menolak kebaikan dengan kejahatan, kejahatan itu untuk dirinya sendiri.
Setiap Rasul hanya menyampaikan amanat untuk kita sama-sama mentauhidkan Allah. Muhasabah diri balik, sekukuh mana pergantungan kita kepada Allah berbanding selain daripadaNya. Umpama jika kita mendapat sesuatu kesenangan, sejauh mana kita ingat kepada Allah dan mengucapkan syukur dengan nikmat kesenangan itu dengan memperbaiki diri sebagai tanda kita bersyukur dengan segala nikmatNya. Begitu juga bila kita diuji dengan kesusahan, sejauh mana kita bersabar dan sanggup mengakui bahawa kesusahan-kesusahan itu akibat perbuatan dosa-dosa kita sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Sejauh mana kita memahami erti Kasih-SayangNya untuk kita kembali tunduk merendah diri kepadaNya?
13. (Dia-lah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah saja.
Kembalilah kita tundukkan diri kepadaNya. Dialah tempat kita bergantung segala harapan. SesungguhNya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Tingkatkan akal fikiran kita agar tidak beragama secara taksub dan menurut membuta-tuli. Barulah umat Islam akan perkasa dan bijaksana dan disegani kawan mahupun lawan. Kewujudan umat Islam bukan untuk merasa bangga diri bahawa agama Islam itu benar dan selain Islam semuanya kafir. Oleh kerana kita mencontohi tugas Rasulullah, kita hanya menyampaikan logik-logik kenapa Islam itu benar.
Hendak tunjukkan kelogikan ajaran Islam, kita dahululah kena buktikan pada diri kita sendiri. Bukan hanya tahu kondem orang itu tidak Islamik, orang itu tak ikut Quran dan sebagainya. Buktikan akhlak kita mulia seperti para Rasul pernah capai. Akhlak akan mulia jika hati kita bersih dan suci. Hati yang tiada permusuhan, dendam dan khianat. Itulah hati orang yang beriman lagi tunduk berserah diri kepada Allah.
Hendak mencapai hati orang beriman, banyakkanlah bertawakal kepada Allah di atas segala apa yang kita lakukan. Rasailah diri kita yang kerdil. Semakin kita merendah diri kepadaNya, semakin tinggi pergantungan kita kepada Allah. Segala kesusahan yang kita terima bukannya alasan untuk mengutuk dan memarahi orang lain, tetapi untuk kita semakin menginsafi diri. InsyaAllah, suatu masa nanti pasti kita akan dapat membentuk generasi Islam yang berkualiti.
Buanglah perangai ikut-ikutan dalam agama terhadap sesuatu perkara yang kita tidak fahami logiknya. Sekadar membawa nama imam-imam terdahulu atau nama ulama-ulama untuk dijadikan sandaran hujah kita, itu bukan caranya untuk tunjukkan kebenaran Islam. Ajaran Islam perlu disampaikan dengan yakin pada akal sendiri, barulah orang-orang yang ada akal akan nampak kehebatan Islam. Cuba kita renungkan, jika ada seseorang bertanya kita, kenapa kita kata 1+1=2? Kemudian kita pun jawab “sebab cikgu sekolah kita ajar macam tu”. Nampak sangat yang sebenarnya kita tak faham apa yang cikgu tu ajar. Begitulah perumpamaan keadaan umat Islam sekarang bila berbincang pasal agama.
14. Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
15. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.
Dalam perjuangan para Rasul terdahulu, ada logiknya bahawa ikatan kekeluargaan tidak menjamin keimanan seseorang. Umpamanya Nabi Luth tidak mampu menarik isterinya untuk tunduk dengan seruan Allah. Begitu juga anak Nabi Nuh yang ditenggelamkan bersama-sama orang yang engkar. Iman tidak boleh diwarisi. Setiap jiwa ada buku catatan masing-masing. Oleh itu janganlah anak dan isteri itu menyebabkan kita jadi lalai kepada Allah dan menjauhiNya. Sebagai orang yang beriman, tugas kita hanya sampaikan kepada anak-isteri untuk mentauhidkan Allah.
Janganlah mereka meletakkan pergantungan mereka kepada kita lebih daripada Allah. Ajarlah mereka untuk sentiasa mengingati Allah setiap masa. Segala kesenangan dan kesusahan yang Allah berikan hendaklah kita syukuri. Janganlah merasa lemah diatas ujian Allah. Kita adalah orang yang ingin perindahkan semangat Islam. Bila kita lemah, syaitan akan mengambil peluang untuk memesongkan kita. Sesungguhnya syaitan telah mengambil perjanjian dengan Allah untuk menyesatkan manusia. Tidakkah kita mahu memahaminya?
Sentiasalah memaafkan kesilapan anak dan isteri kita kerana jika kita memarahi mereka, syaitan akan mengambil kesempatan mencurahkan minyak bagi membakarkan diri kita. Jika kita terbakar, hanguslah diri kita kehitaman. Bukankah orang-orang kafir nanti bila dibangkitkan dengan wajah hitam pekat? Jika Allah sentiasa mengampuni kita dan memberikan petunjuk kepada kita sebagai tanda sifat PenyayangNya, kenapa kita tidak boleh tunjukkan sifat ini kepada anak dan isteri kita? Kerana itu Rasulullah mengatakan orang beriman itu adalah orang yang baik dengan isterinya.
Isteri bukan untuk diperkulikan, tetapi untuk dijadikan pembantu dan pendorong semangat suami menempuh cabaran hidup. Perbanyakkan muzakarah dengan mereka kerana mereka juga membawa ilham-ilham daripada Allah. Adakalanya ilham-ilham mereka lebih baik daripada apa yang kita fikirkan. Hidup kita akan jadi ceria bila dapat mengajak anak dan isteri berbincang pasal Keagungan Allah. Macam-macam idea keluar sehingga tidak sedar masa berjalan. Ketika itu kita akan nampak hikmah kenapa Allah ciptakan kaum Hawa di samping Adam, dan kenapa Allah ciptakan anak-anak dari darah daging kita sendiri. Seribu satu macam rasa membentuk kekuatan jiwa. Sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Terpuji.
Janganlah kerana banyaknya harta benda dan banyaknya anak-anak, kita jadi bermegah-megah. Adakalanya untuk berbangga-bangga dengan jiran tertangga, keputusan anak-anak di sekolah disebarkan-sebarkan. Itu bukan budaya yang sihat. Tidak semestinya anak yang ketika masa bersekolah rendah mendapat keputusan yang cemerlang akan memasuki universiti jika asas keyakinan dirinya tidak tidak bentuk. Mungkin masa tinggal bersama ibubapa, anak-anak ini ada keyakinan diri. Tetapi bila masuk asrama dan menjauhi ibubapa, mulalah perangai-perangai buruknya timbul.
Ajarlah akidah yang kukuh pasal Allah kepada anak-anak. Setiap kejayaan yang anak-anak capai, pulangkan puji-pujian hanya kepada Allah. Ajar anak-anak itu memahami erti Kekuasaan Allah dalam diri mereka. InsyaAllah, semoga mereka menjadi generasi Islam yang teguh pendirian dan merendah diri bagi menghasilkan modal insan yang cemerlang untuk negara.
16. Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.
17. Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipat gandakan balasannya kepadamu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.
18. Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Islam adalah agama yang universal dan tidak memaksa. Takutilah Allah dengan ketaatan yang mudah dan sanggup kita lakukan. Jangan paksa diri untuk melakukan perubahan dengan membuat solat berpuluh-puluh rakaat semata-mata nak cepat jadi baik. Mulakan perubahan diri dengan selalu berfikir pasal Kekuasaan Allah sedikit demi sedikit. Sentiasalah perbaiki diri dari masa ke semasa agar tahap iman kita meningkat. Lihat sekeliling alam ini bagaimana KehebatanNya sebagai Pencipta alam semesta. Masa yang kita gunakan untuk berfikir itu adalah nafkah kita dalam perjuangan hidup ini. Kerana itu surah An Naas menekankan perihal kepentingan masa ini. Dan kerana itu Allah bagi masa yang adil untuk kita dalam satu hari supaya tiada manusia beralasan-alasan untuk meluangkan masa kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang manusia kerjakan.
Kikirnya kita untuk meluangkan masa merenung diri dan memahami tujuan hidup akan menyebabkan peluang untuk kita berubah semakin sempit. Apatah lagi setelah kita nampak logik dan sedar bahawa sudah sampai masanya kita berubah setelah melihat nasib umat Islam yang menjadi lemah dan hidup berpuak-puak. Sudah pastinya orang yang beriman pada hari akhirat akan melakukan sesuatu untuk menggemilangkan agama Allah seperti mana orang-orang yang beriman terdahulu pernah lakukan. Sikap menunggu orang lain berubah barulah kita hendak ikut berubah adalah sikap yang menyebabkan kita tidak akan berubah. Kita rasa kedekut untuk meluangkan masa dengan Allah sedangkan Dia tidak pernah mengabaikan kita. Bukankah degupan jantung kita pun dalam pemerhatianNya? Sesungguhnya amat rugilah manusia yang lalai terhadap masa yang diberikan.
Allah tidak memerlukan manusia, sebaliknya kitalah yang memerlukan Dia. Segala apa yang kita lakukan adalah untuk kita sendiri. Buat baik dibalas baik, buat jahat diri sendiri yang merana. Allah Maha Pembalas Jasa, hanya manusia sahaja yang suka melupai segala rahmatNya. Rahmat Allah yang paling luas adalah diberikan akal yang boleh berkembang luas, sehingga mampu nampak disebalik perkara-perkara zahir. Umpama 100 tahun dahulu roket adalah sesuatu yang ghaib di mata manusia, tetapi kerana ada manusia yang menggunakan akal, kewujudan roket mampu dilogikkan. Malangnya ada manusia yang menolak logik akalnya sendiri dan memilih beragama secara taksub dan membuta-tuli. Bagaimana Islam hendak digemilangkan jika penganutnya pemalas berfikir dan suka mengharapkan subsidi?


























