At Tahrim (Mengharamkan)

1. Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sesuatu yang haram itu jelas dan nyata. Seperti mana Allah cipta alam semesta ini dengan jelas, nyata, logik dan ada bukti yang waras difikirkan, begitulah bila sesuatu yang diharamkan itu mesti ada bukti yang mensabitkan keharamannya. Bukan main ikut kehendak hati manusia semata-mata.

Umat Islam sekarang akibat beragama secara ikut-ikutan atas nama orang lain, bukannya mengikut rasional akal, ada perkara-perkara yang halal tetapi diharamkan kerana mengikut fahaman yang sempit. Ini kerana agama tidak dikaitkan dengan pembangunan akal sehingga umat tidak pandai menilai dengan waras beza baik dan buruk, halal dan haram dan perbandingan-perbandingan yang lain. Digunakan nama-nama ulama terdahulu untuk menjatuhkan sesuatu hukum, tanpa pertimbangan rasional. Maka lahirkan umat yang takut untuk menggunakan akal sendiri dan terpaksa bergantung pada orang lain dalam hal agama. Tapi dalam bab mencari harta benda, pandai pula manusia itu berusaha sendiri untuk membolot dengan rakusnya.

Otak manusia hanya akan berkembang bila sentiasa digunakan untuk berfikir. Jika untuk kenal Allah pun tidak digunakan otak untuk berfikir secara logik, macam mana otak hendak berkembang? Kajilah alam semesta ini sehingga kita nampak betapa AgungNya Allah. Bila dimaksudkan sesuatu kajian, ia pasti berlandaskan logik. Mana ada kajian dibuat tanpa guna pertimbangan akal?

2. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Manusia diwajibkan membebaskan diri dari sumpah yang tidak masuk akal. Sumpah itu kena terletak pada yang benar, sebab itu kita guna Al Quran jika dalam bersumpah.

Bila kita letakkan pegangan kita pada sesuatu yang masuk akal, kita akan rasa tenang dan tenteram dalam perlindungan Allah. Tetapi jika kita berpegang pada sesuatu yang kita tidak pasti dan terpaksa menurut orang lain, kita akan jadi lemah dan hilang keyakinan diri.

Allah Maha Mengetahui dalam setiap perkara yang kita tidak tahu. Serahkan kepada Yang Maha Bijaksana, dengan mencari idea-idea yang boleh mengembangkan minda agar kita dimasukkan dalam golongan yang bijaksana juga. Dengan cara ini kita boleh melupakan perkara-perkara yang mengganggu hidup kita selama ini. Sesungguhnya rahmat Allah itu terlalu luas.

3. Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahasia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahukan sebagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: “Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu?” Nabi menjawab: “Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Manusia boleh menipu manusia lain. Tetapi Allah sentiasa memerhati apa jua yang manusia lakukan. Dan setiap diri akan mendapat balasan terhadap apa yang  diperbuat.

Seperti mana kita boleh mencerita sesuatu perkara dan merahsiakan sesuatu perkara, begitu juga Allah boleh balas terhadap kita dengan merahsiakan sesuatu perkara terhadap kita juga. Dan tiada siapa yang boleh tolak Kuasa Allah jika Dia hendak bagitahu apa yang kita rahsiakan kepada sesiapa jua yang Dia kehendaki. SesungguhNya Allah Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.

Dalam perjuangan, kita perlu jujur dan telus kerana syaitan akan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan ikatan manusia bila wujudnya sesuatu perkara yang disembunyikan. Syaitan akan membisikkan prasangka yang mengganggu jiwa manusia itu.

4. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.

Apabila kita tersedar dari kesilapan, cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah agar kita condong kepada kebaikan, bukannya mengikut telunjuk syaitan yang mahu manusia hidup berpecah-belah. Dan bila manusia itu bantu-membantu menyusahkan perjuangan agama Allah sehingga Islam terus dipandang hina, bukankah Allah yang akan membalas balik apa yang manusia itu perlakukan? Dan siapakah yang boleh halang Allah bila Dia melindungi orang yang menyeru ke arah kesatuan manusia, sedangkan orang-orang kafir suka manusia itu hidup berpecah-belah? Adakah malaikat-malaikat bersama-sama dengan orang yang berbuat baik dan syaitan yang bersama orang yang dalam hatinya ada kedengkian?

5. Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

Allah akan menyatukan orang yang membantu dan berjuang untuk agama Allah sedangkan orang yang memilih syaitan dalam dirinya sendiri pasti akan berpaling. Seperti minyak dan air tidak akan bercampur, begitulah juga orang yang dalam hatinya penuh berminyak yang menjadi bahan bakar untuk dia mudah kepanasan (orang kafir) pasti akan dipisahkan dengan orang yang hatinya penuhi air(Al Quran), dan daripada air itu tumbuhnya pelbagai cita-cita yang menghasilkan buah fikiran yang enak dimakan orang yang menggunakan akal.

Allah Maha Berkuasa menggantikan sesiapa yang lebih baik daripada orang yang berpaling yang merasakan dirinya serba cukup dan tidak memerlukan pertolongan Allah dalam hidupnya. Kerana yang menghadirkan manusia-manusia lain dalam hidup manusia itu juga atas Kuasa Allah. Dia Maha Mengetahui siapa yang layak membantu agamaNya. Sesungguhnya Allah tidak memerlukan manusia, sedangkan manusia amat memerlukan Allah.

6. Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

Peliharalah diri dan keluarga dari kehidupan yang panas bagaikan neraka akibat hidup dalam keraguan dan berprasangka. Syaitan mudah masuk ke dalam hati manusia itu bila manusia itu tidak menggunakan pertimbangan akal yang waras dan hanya suka menurut nafsu sahaja. Dibisik-bisikan permusuhan kerana syaitan itu adalah batu api untuk melaga-lagakan manusia. Sebab itu pasti Allah akan menjauhkan manusia yang suka mewujudkan permusuhan daripada orang-orang yang menyeru kepada kedamaian.

Lihatlah nasib umat yang dilanda tsunami empat tahun lalu ketika mereka berpecah-belah atas alasan menegakkan agama Allah dengan cara berperang sesama sendiri. Ketika Allah memerintahkan malaikatnya mengangkat air laut sehingga memusnahkan rumah-rumah manusia, siapa manusia hendak menghalang malaikat yang tegas melaksanakan amanah Allah? Itulah bukti bagaimana malaikat melaksanakan tugasnya. Jadi adakah perkara yang sama tidak akan terjadi kepada kita jika kita memilih jalan yang memecah-belahkan kesatuan hati manusia?

7. Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.

Oleh itu, orang-orang yang menolak logik akalnya sendiri dan dia tahu dia tiada alasan yang kuat untuk menolak apa yang waras difikirannya sendiri, janganlah mengemukakan alasan uzur kerana mahu menjauhi perjuangan agama Allah. Setiap jiwa akan mendapat balasan terhadap apa yang diperbuat. Tidak dilebihkan dan dikurangkan melainkan mengikut usaha masing-masing. Manusia yang bersungguh-sungguh membantu agama Allah, kesungguhannya akan kembali kepada dirinya sendiri, seperti kita akan masuk ke dalam liang lahad yang Allah sudah tentukan untuk kita sendiri, bukannya menumpang kubur orang lain.

8. Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Dan orang yang beriman itu termasuk dalam golongan yang selalu muhasabah dirinya sendiri. Kerana bila manusia itu mengenal kelemahan dan kesilapan dirinya sendiri, dia akan berusaha memperbaiki dirinya sendiri sehingga setiap hari itu lebih baik dari hari-hari yang sebelumnya. Seperti sebuah bekas perak, jika setiap hari digilap, pasti akan memancarkan sinar pantulan cahaya.

Tetapi bagi orang yang berbangga dirinya sudah baik dan tidak perlu berjuang untuk agama Allah lagi, maka sudah pasti dirinya akan hilang keindahan seperti bekas perak yang dilitupi debu.

Bagi orang yang beriman, apa jua yang Allah takdirkan, ia menerimanya sebagai cara untuk dia muhasabah diri. Agar rasa kehambaan kepada Allah semakin tebal dan semangat juang semakin tinggi. Dia tidak rasa hina dengan apa jua yang berlaku pada dirinya kerana baginya rahmat dan kasih-sayang Allah itulah yang lebih bernilai dalam hidupnya. Tetapi bagi orang tidak percaya kepada Allah, bila diuji dengan sesuatu kesusahan, ia akan melemparkan atau menyalahkan orang lain sebagai punca kesusahan yang dihadapinya.

9. Hai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah jahannam dan itu adalah seburuk-buruknya tempat kembali.

Bila manusia itu menolak logik akalnya sendiri, ia mudah hilang pertimbangan dalam hidupnya. Bila hilang pertimbangan akal, hati akan jadi cepat marah. Kepanasan hati adalah jahannam yang disediakan di atas dunia. Kelak di akhirat, azab Allah tidak terperi sakitnya.

Begitu juga dengan orang yang berpura-pura atau bersikap munafik. Di hadapan orang mukmin mereka menunjuk baik, tetapi di belakang, mereka merancang keburukan agar cahaya agama Allah padam. Tetapi siapakah yang memegang urat jantung mereka ketika mereka merancang keburukan itu? Bukankah Allah Maha Melihat mereka ketika mereka sedang berdusta? Bagaimana jika mereka mati ketika sedang membuat kejahatan? Apakah Allah akan membiarkan kejahatan mereka tanpa balasan sedangkan setiap usaha manusia itu dicatatkan dalam ingatan manusia itu sendiri, dan dia sedar dia berniat hendak membuat kejahatan itu? Dan setiap jiwa pasti akan merasa segala tindak-tanduknya sendiri sejak di atas dunia lagi. Itupun jika manusia itu mahu memikirkan.

10. Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam).”

Ambillah ikhtibar dari kisah isteri Nuh dan Luth yang tidak percaya dengan logik Allah, sedangkan suaminya sendiri adalah orang yang menjelaskan perihal Allah dengan bukti-bukti yang logik, nyata dan waras untuk difikirkan.

Siapa yang boleh menghalang azab Allah kepada orang yang mengkhianati perjuangan agamaNya? Dan Allah tidak akan membalas dengan ketenangan dan kedamaian kepada hati-hati manusia yang kerjanya hanya mengadakan permusuhan lagi berpecah-belah. Sesungguhnya hanya syaitan yang bersama dengan manusia yang menyusahkan perjuangan agama Allah, kerana keraguanlah yang bersarang di hati manusia yang engkar itu.

11. Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zhalim.

Dan jadikan kisah isteri Fir’aun sebagai pengajaran bagi orang-orang yang mencari perlindungan Allah. Sezalim mana Fir’aun itu, ia tidak mampu menyusahkan orang yang beriman, sebaliknya Fir’aun itulah yang mendapat susah akhirnya. Apakah kita mahu tunggu nasib seperti Fir’aun, barulah hendak percaya dengan Allah? Sedangkan Allah telah bagi masa yang cukup panjang untuk kita berfikir dengan waras dan rasional. Tidak cukup lagikah bukti yang telah Allah sampaikan kepada akal fikiran kita itu jika kita termasuk dalam orang yang menggunakan akal?

12. dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-KitabNya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat.

Dan contohilah seperti Maryam menjaga maruah dirinya. Nilai manusia itu akan jatuh bila maruahnya hilang. Manusia akan hilang maruah bila ada akal, tetapi nafsu juga yang diikut. Kerana itu Islam adalah agama yang menekankan pembangunan akal. Dengan sentiasa berfikir pasal Allah untuk melihat logik-logik KekuasaanNya, akal manusia itu akan dipertingkatkan sehingga dia mampu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Maka akan lahirlah jiwa manusia yang disucikan.

Jiwa manusia tidak akan jadi suci jika perasan dirinya sudah baik dan tidak mahu muhasabah diri lagi. Pasti syaitan akan membisikan supaya manusia itu berbangga dengan dirinya sehingga hidupnya hanya mahu menyalahkan dan menghukum orang lain tidak betul. Rosaknya kesatuan umat Islam bila wujudnya manusia yang perasaan dirinya mulia dan kerjanya hanya menghukum orang lain.

Sebagai orang Islam, tugaskan kita adalah membetulkan diri kita sendiri dan menyampaikan apa yang telah kita amalkan dan fikirkan betul mengikut logik-logik yang kita fahami sendiri, bukannya menggunakan nama-nama imam terdahulu sebagai sandaran. Akibat terlalu taksub mengikut pendapat sesuatu imam, umat Islam jadi bertelagah sesama sendiri. Maka sebagai balasan, biarpun umat Islam pernah dianugerahkan sebagai umat terbaik dan dibekalkan dengan Al Quran, kita menjadi umat yang lemah. Itulah realitinya yang jelas dan terang untuk kita melihatnya. Cuma terpulanglah untuk kita mengakui kelemahan diri kita.

Orang yang membuang egonya untuk mengakui kesalahan diri sehingga datang kesedaran dan berusaha untuk memperbaiki diri itulah orang-orang yang berjaya, biarpun orang-orang kafir dan munafik tidak menyukainya.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • co.mments
  • BlinkList
  • connotea
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • digg
  • Shadows
  • RawSugar
  • NewsVine
  • Reddit
  • scuttle
  • feedmelinks
  • Furl
  • LinkaGoGo
  • Ma.gnolia
  • Smarking

One Response to “At Tahrim (Mengharamkan)”

  1. Adila Says:

    Dalam surah ni, saya amat tertarik dengan perumpamaan yang Allah berikan antara 2 jenis isteri. Isteri yang baik dan yang tidak baik. Kalau kita perhatikan, Allah selalu menggunakan perbandingan tentang sesuatu perkara di dalam KalamNya. Ini kerana akal kita senang menerima dan memikirkan tentang sesuatu perbandingan. Dengan kata lain kita cepat nampak jika ada dua benda yang dibandingkan.

    1- Isteri nabi Nuh dan nabi Luth.
    Walaupun suami mereka seorang nabi, yang menyeru kepada mengEsakan Allah, menyeru kepada kebaikan, tetapi seorang nabi itu hanya mampu menyeru. Soal hidayah adalaha urusan Allah.

    Sudah pasti seorang suami itu menginginkan isterinya turut sama dalam perjuangan mengEsakan Allah, tapi bila Allah dah tunjukkan isterinya berpaling dari perjuangan, bermakna mungkin Allah akan menggantikan dengan isteri yang lebih baik, lebih taat, beriman dan patuh seperti dalam ayat 5 surah ini.

    Walaupun kedua nabi ini berjaya berdakwah pada orang lain, tapi gagal pada isteri sendiri, ini menunjukkan kuasa Allah. Betapa tugas seorang nabi adalah menyampaikan, dan soal taufik dan hidayah adalah urusan Allah semata-mata.

    Dan ini juga menunjukkan bahawa iman bukan sekadar ikutan. Ia perlukan keikhlasan. Dan keikhlasan hanya akan hadir bila kita faham dan jelas dengan apa yang kita sedang lakukan. Bila dah faham, kita ikhlas, dan kita tak lagi rasa terpaksa untuk melakukan sesuatu perkara.

    ok, kondisi yang kedua adalah isteri Firaun iaitu Asiyah binti Muzahim (ratu syahadah). Akibat dari keimanan Asiyah kepada kerasulan nabi Musa AS, dia harus rela menerima seksaan pedih dari suaminya. Betapa pun besar kecintaan dan kepatuhannya pada suami ternyata di hatinya masih tersedia tempat tertinggi yang diisi dengan cinta pada Allah dan RasulNya. Syurga menjadi tujuan akhirnya sehingga kesulitan dan kepedihan yang dia rasakan di dunia akibat meninggalkan kemewahan hidup, budaya dan tradisi yang menyimpang dari syariat Allah, ditelan begitu sahaja demi kesenangan abadi.

    Asiyah meninggal dunia dalam keadaan tersenyum meskipun dalam seksaan pengikut firaun.

    Salah satu siksaan yang diterima ialah Firaun memukulkan kedua tangan dan kaki Asiyah dalam keadaan terikat. Maka ketika Firaun dan pengikutnya meninggalkan Asiyah, malaikat menaunginya lalu ia berkata, “Ya Rabb, bangunkan sebuah rumah bagiku di sisiMu dalam syurga”. Maka Allah perlihatkan rumah yang telah disediakan untuknya di syurga sebelum dia meninggal dalam keadaan tersenyum.

    maha Hebat KuasaNya. Dia berkuasa memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang menggunakan akal. Iman hanya dapat dicapai dengan akal, bukan dengan ikutan dan warisan.

    Lihat perbandingan antara isteri nabi Luth dan Nuh yang diseru dengan penuh hikmah tetapi tetap menolak, tetapi Asiyah yang terpaksa menempuh derita, tetap mengEsakanNya.

Leave a Reply