Ath Thaariq (Yang Datang Di Malam Hari)
1. Demi langit dan yang datang pada malam hari,
2. tahukah kamu apakah yang datang pada malam hari itu?
3. (yaitu) bintang yang cahayanya menembus,
Langit adalah perumpamaan bagi akal kerana seperti langit yang terletak di atas kita, begitulah akal. Akal tempatnya di atas jiwa kita. Jangan letakkan akal di bawah dan nafsu di atas, kelak hati akan jadi gundah-gulana. Ambil perumpamaan sebuah roket. Jiwa umpama roket, dan nafsu adalah api yang menujah (semangat) daya gravity (rasa malas) untuk naik ke angkasa yang luas dan tinggi (pemikiran). Sesungguhnya setiap perumapama itu berguna kepada insan-insan yang berakal.
Malam menggambarkan keadaan hati orang yang menolak logik akalnya sendiri. Manusia ini gelap hatinya. Tidak tahu menimbang dengan waras. Suka mencari musuh dan hidup dalam keadaan berpuak-puak. Masing-masing kata puak mereka sahaja betul. Bukannya ingin mencari titik kesatuan manusia, tetapi tebal dengan sifat kesukuan.
Bintang adalah perumpamaan bagi petunjuk atau hidayah Allah. Seperti bintang, jika ia jauh, cahayanya tidak cukup terang menyinari bumi. Tetapi bagi matahari (bintang yang paling dekat dengan bumi), cahayanya terang benderang sehingga macam-macam benda di atas bumi ini kita mampu melihatnya.
Begitulah juga dengan hidayah Allah ini. Ketika kita malas berfikir, bintang ini kita tidak nampak dan hati kita gelap. Hidup bukan mengikut petunjuk Allah, tetapi mengikut nafsu sendiri. Bila kita mula berfikir, bintang-bintang ini muncul dalam kegelapan hati. Bintang-bintang ini menjadi petunjuk arah hidup kita. Apabila semakin kuat kita berfikir, bintang ini makin dekat seperti matahari terbit. Makin lama makin terang hati kita. Macam-macam perkara ghaib Allah tunjukkan kepada kita.
Maksud perkara ghaib ini bukanlah bayangan kosong yang tiada asasnya sebab Allah cipta alam semesta ini menurut logik atau bukti yang nyata yang mudah otak yang waras menerimanya. Ghaib ini bermakna Allah tidak bagitahu kepada orang yang malas berfikir, tetapi dinampakkan kepada orang yang rajin berfikir. Seperti masa kita tidak belajar logik 1+1=2, kefahaman hukum matematik ini adalah ghaib bagi kita. Tetapi setelah belajar dan kita faham kelogikannya berdasar bukti-bukti yang nyata (contoh: boleh bilang pakai jari), ia bukan suatu yang sukar dan ghaib lagi.
Seperti Quran juga, ia susah hendak difahami maksudnya jika ada yang menolak logik akalnya sendiri. Bila tolak pertimbangan yang waras, maka mereka membaca Quran secara menurut nafsu. Mulalah digunakan Quran untuk mewujudkan puak-puak. Betelagah sesama sendiri untuk berbangga diri bahawa puak masing-masing ikut Quran. Jelas terpapar tahap kematangan fikiran yang rendah walhal ada yang sudah beruban. Ada yang diperlihatkan wajah tuanya padahal ahli-ahli syurga itu muda-muda belaka. Macam mana wajah tidak cepat tua, jika hati tertekan dan hidup dengan rasa kebencian?
Hidayah Allah ini adalah cahaya yang menembusi hati manusia yang menggunakan akal. Kerana itulah Quran sendiri menekankan pasal penggunaan akal ini. Tetapi kenapa masih ramai manusia yang suka menurut nafsu dan menolak amanah Allah sedangkan akal mereka boleh berfikir dengan waras? Adakah mereka sanggup menggadaikan ketenangan dan kebahagiaan semata-mata untuk hidup dalam debaran dan keresahan? Kenapa tidak ditukar keresahan kepada ketenangan dengan kembali tunduk kepada Tuhan? Jika manusia itu jual mahal dengan Tuhan, bukankah Dia tidak rugi apa-apa kerana semesta alam ini milikNya? Tetap yang rugi itu adalah manusia kerana menolak peluang yang Allah ciptakan terbaik untuknya. Tersesatlah manusia itu kerana ragu-ragu dengan Allah akibat menurut bisikan syaitan.
4. tidak ada suatu jiwapun (diri) melainkan ada penjaganya.
5. Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?
6. Dia diciptakan dari air yang dipancarkan,
7. yang keluar dari antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan.
Tidaklah kita diciptakan untuk hidup bebas tanpa matlamat dan tujuan. Manusia yang tidak berfikir panjang sahaja yang menganggap begitu. Matlamat kita sebagai manusia yang waras adalah mencari kebahagiaan (syurga). Hanya manusia yang tidak cukup berfikir secara waras sanggup menolak kebahagian yang Allah janjikan. Adakah kita hidup di atas dunia ini banyak kali? Jika selepas mati Allah bagi peluang kita hidup balik, bolehlah kita ambil sikap acuh tidak acuh amanahNya. Tetapi Allah bagi peluang kita sekali sahaja di dunia ini untuk mengotakan janji kita kepadaNya ketika kita mula-mula hendak dicipta. Sengaja mengabaikan peluang yang diberikan samalah seperti orang-orang yang berbangga diri. Mereka anggap dengan melepaskan peluang yang Allah beri itu ia boleh dapat peluang yang lebih bagus. Apakah mereka itu tuhan selain Allah yang mengetahui apa yang akan berlaku di masa hadapan? Kerana itulah orang yang berbangga diri ini disamakan dengan syirik kerana rasa dirinya seperti Tuhan untuk menentukan masa hadapannya. Walhal Allah-lah yang menjaga setiap manusia dengan akal dibekalkan untuk memandu arah pada jalan yang lurus.
Setelah menemui jalan yang lurus, kenapa perlu dibengkang-bengkokkan lagi? Adakah keraguan syaitan masih berbisik-bisik di dalam dada? Quran adalah kitab yang lurus sahaja ajarannya. Guna akal secara waras akan mudahlah kita memahaminya. Kenapa diada-adakan alasan bahawa hendak fahami Quran kena guna riwayat-riwayat hadith sedangkan Quran sendiri adalah hadith? Kenapa beralasan hendak kaji Quran kena ada tok guru? Bukankah tok guru itu hanya manusia biasa yang tidak layak ditaksubi? Kita boleh bermuzakarah dengan orang yang kita fikirkan dia tahu, tapi jangan bergantung harap pada mereka menentukan semua perkara dalam hidup kita. Mana-mana pendapat orang lain yang bernas dan waras yang hati kita tenang menerimanya, itulah yang boleh kita contohi kerana itu datangnya dari Allah yang mengilhamkan kepada manusia. Bukannya taksub dan menurut membuta tuli atas alasan kata-kata itu riwayat Nabi dan imam-imam terdahulu. Dan Allah juga yang mengilhamkan jalan kebenaran dan jalan kefasikan. Bereksperimen dengan nyawa kita sendiri kerana kita masuk kubur nanti pun sendiri. Bukannya menjadi pak turut bagai binatang ternak yang ditarik hidungnya.
Kenalilah diri kita. Kita diciptakan setitis air yang dipandang hina. Namun setelah disempurnakan kejadian, kenapa ramai yang jadi penentang? Membangkang Allah di sana-sini. Hidup berpuak-puak dengan khayalan kekosongan. Masing-masing berangan-angan puak mereka sahaja yang betul. Sibuk mengutuk pemimpin sendiri sedangkan alpa merendahkan diri kepadaNya. Ada akal tidak dibangunkan agar mampu menimbang dengan waras. Agar mampu membezakan yang mana ketenteraman jiwa dan kesengsaraan rasa.
Masih mahu lagikah kita menolak amanah Allah atas rasa tidak puas mencari keseronokan duniawi? Apa seronoknya hidup jika batin kita sengsara? Hidup dalam duka yang memuramkan muka. Hilang seri bagai mencuka. Bukankah itu semua akibat kita menjauhiNya sedangkan Dia tidak pernah lalai menjaga kita? SesungguhNya Dia-lah Tuhan yang Menguasai hari pembalasan. Buat baik akan dibalasi baik. Menjaga amanahNya, kita akan dijaga oleh Dia. Dialah Penjaga, Pelindung dan Pendamping di setiap perjalanan hidup kita tidak kira kita ini lelaki mahu pun perempuan. Kerana di sisiNya kita adalah sama. Beza hanya pada amalan. Amalan mulia menenangkan jiwa. Menolak kemuliaan, masuklah ke neraka. Neraka dunia, kepanasan dan kegentaran hati itulah ia. Neraka akhirat, tidak terperi seksanya.
8. Sesungguhnya Allah benar-benar kuasa untuk mengembalikannya (hidup sesudah mati).
9. Pada hari dinampakkan segala rahsia,
10. maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu suatu kekuatanpun dan tidak (pula) seorang penolong.
Kenangilah nikmat jasad dan nyawa yang diberi. Allah Maha Berkuasa mengembalikan apa yang Dia cipta. Yang hidup akan ke kubur juga akhirnya walau sesombong mana pun dia terhadap amanah Tuhannya. Ada akal tidak mahu menimbang dengan waras. Lebih suka berpegang pada keraguan syaitan berbanding berpegang kepada keyakinan yang menenangkan hati.
Jika menolak akal untuk kaji Quran, bagaimana hati mahu tenteram untuk memahami pengajarannya? Akibatnya manusia itu terpaksa bergantung kepada tok guru-tok guru untuk mengajar dirinya. Walhal ketika mati nanti, adakah tok guru itu akan ikut sama untuk membantu kita menjawap soalan di dalam kubur itu? Itulah orang yang hanya menggunakan pandangan zahir. Dia nampak tok guru yang ajar dia, padahal Allah Yang Maha Perkasa yang menguasai jiwa. Hidup kita bukan untuk mengajar orang, tetapi menyampaikan kebenaran berdasarkan contoh dari diri kita sendiri. Sikap suka mengajar orang ini menjadikan manusia itu perasan bagus untuk memperbetulkan orang lain. Walhal dalam diri sendiri berapa banyak kekotoran yang tidak dicuci. Gilapkan hati sendiri agar yang memandang akan terpesona. Itulah yang Rasulullah lakukan.
Takutilah pada satu hari Allah akan bongkarkan segala yang tersembunyi dalam hati. Siapa kita hendak tolak Kekuatan Allah bila Dia melaksanakan perancanganNya. Sesungguhnya Dia sebaik-baik penolong. Kita tolong agama Allah, Dia akan tolong kita balik. Nak tolong agama Allah, kita kena tolong diri kita sendiri bermula dengan mengikhlaskan hati untuk bangunkan akal. Bila akal sudah tinggi dan kita sudah pandai mengimbang dengan waras, kesabaran akan tebal dalam diri. Tidak lagi kita suka melenting dan mencaci kepada ulil amri sendiri. Kita jadi berlapang dada dengan ujian yang diberi. Biarpun ada yang menolak dan membenci tawaran kita, tidaklah kita terasa kerana amanah Allah telah kita sampaikan. Yang menolak amanah Allah pasti akan terbeban. Hidup kita hanya untuk berbakti kepada Tuhan. Pada Allah kita akan mendapat hiburan yang mendamaikan jiwa. Itulah balasan kepada manusia yang yakin pada hari akhirat. Manusia yang yakin dengan janjiNya. SesungguhNya Dia Yang Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di sebalik hati.
11. Demi langit yang mengandungi hujan,
12. dan bumi yang mempunyai tumbuh-tumbuhan,
13. sesungguhnya Al Quran itu benar-benar firman yang memisahkan antara yang hak dan yang bathil.
14. dan sekali-kali bukanlah dia senda gurau.
Bila manusia itu berfikir mengkaji Quran, akan turunlah ilham-ilham seperti air hujan yang mensucikan hati. Hati yang suci akan ditumbuhi niat-niat murni untuk memperindahkan hidup kita seperti mana tumbuh-tumbuhan mengindahkan bumi. Hijau bumi Tuhan. Hati jadi riang dan tenang walaupun berjuta seteru. Ketenangan hati akan memudahkan kita menimbang dengan waras. Tiada keraguan bermain-main di dalam jiwa. Biarpun diuji dan dikhianati, tetapi terasa bahagia sentiasa. Itulah tanda jiwa yang ditemani Allah. Allah sebaik-baik teman yang menghibur jiwa kita. Dia Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati setiap manusia. Dan yang pasti, manusia yang enggan tunduk kepada amanahNya akan merasai kesempitan hidup biarpun kekayaan seluas dunia. Kerana seluas mana manusia itu berkuasa di bumi, tetap urat jantungnya sendiri tidak mampu dikuasai. Maha Agung Allah yang memiliki kerajaan seluas semesta alam yang tidak tahu di mana sempadannya.
Oleh itu, kembalilah kita mengkaji Quran agar kita mampu memisahkan yang mana hak dan yang mana bathil. Bukan dengan cara melihat pada zahir sahaja untuk mengatakan kita ini benar. Bukan dengan cara taksub kepada mana-mana parti politik untuk menunjukkan kita ini sudah layak masuk syurga. Tetapi yang dilihat oleh Allah adalah apa yang terselindung di dalam dada kita. Bagaimana manusia itu mampu lari daripada Tuhannya sendiri? Adakah setiap kedustaan tidak akan Allah balas dengan debaran? Debaran yang memuramkan wajah sehingga tiada keindahan di mata orang-orang yang menggunakan mata hati melihatnya. Sehingga Allah juga bagaikan tidak sudi melihatnya kerana menolak amanah yang diberikan. Hiduplah manusia itu atas angan-angannya sendiri yang dia tidak pasti apa akan berlaku di masa hadapannya. Berapa ramai manusia yang lalai dengan peringatan Tuhannya? Berapa ramai yang mengabaikan tawaran Allah untuk mengecapi kebahagian dunia dan akhirat demi memuaskan nafsu duniawi yang menipu? Dan syaitan itu tidak berputus asa menyesatkan manusia. Dan apa yang diperingatkan ini bukannya senda-gurau, tetapi setelah Allah perlihatkan dengan mata hati ini seperti apa yang pernah terjadi pada umat-umat terdahulu. Dan Allah tidak memungkiri janjiNya.
15. Sesungguhnya orang kafir itu merencanakan tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya.
16. Dan Akupun membuat rencana (pula) dengan sebenar-benarnya.
17. Karena itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu yaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar.
Bagaimana orang-orang yang menolak logik akalnya sendiri mampu merencanakan tipu daya jahat? Bukankah Allah memerhati setiap gerak-geri manusia, sehingga setiap debaran jantung manusia pun Dia yang merencanakan? Tidakkah itu sudah cukup membuat orang yang berakal untuk tunduk berserah diri kepada Allah? Berfikir panjanglah dengan waras sebelum kita menolak amanah Allah. Kita adalah khalifah di atas muka bumi. Bukannya hidup untuk bergantung kepada keraguan-keraguan bisikan syaitan. Kelak hidup kita akan tertekan. Tekanan emosi memanaskan hati. Itulah azab buat sementara waktu Allah tangguhkan untuk kita hidup di atas dunia. Dan hidup kita di atas dunia ini adalah sebentar cuma. Sudahlah sebentar, kita pilih pula kesengsaraan sebagai teman hidup. Bagaimana manusia boleh berpaling sedemikian rupa? Dan negeri akhirat itulah sebaik-baik tempat tinggal bagi insan yang menggunakan akal.


























